GRIK, 30 Sept: Pengasas Madrasah Ad-Diniah Al-Latiffiah atau lebih dikenali
Pondok Pak Teh, Tuan Guru Datuk Abdul Latif Abdul Rahman telah kembali
ke rahmatullah kira-kira jam 1.00 pagi tadi selepas sesak nafas. Tuan Guru Abdul Latif yang mesra dengan panggilan Pak Teh mendirikan
pusat pengajian itu pada tahun 1967 dan lokasinya adalah berdekatan dengan
perkarangan rumahnya. Pusat pengajian teletak di Kampung Kuak Luar,
Pengkalan Hulu dalam daerah Hulu Perak.
Pondoknya pernah menjadi kontroversi. Setelah 10 bulan Pakatan Rakyat
memerintah Perak telah meluluskan sebidang tanah seluas 45 hektar untuk
membantu pondok sedangkan sekian lama dipohon semasa BN berkuasa
sebelum itu tetapi tidak diluluskan.
Pak Teh merupakan anak jati kelahiran Kampung Kuak Hulu, Pengkalan Hulu. Beliau dilahirkan pada tahun 1938 dan mendapat pendidikan awal di
Sekolah Melayu dalam tahun
1947 hingga 1953 dengan menamatkan pengajian hingga darjah 5.
Pada peringkat awal, beliau mula menghafal kitab-kitab agama dengan
dibimbing oleh Ustaz Omar Mohd Noh.
Selepas itu, beliau melanjutkan pengajiannya di peringkat menengah
di Sekolah Arab (sistem pondok) yang dikenali dengan nama
Pondok Asam Jawa di Pendang, Kedah antara 1956 hingga 1959. Pak Teh sebenarnya seorang pelajar yang pintar kerana
berpeluang melanjutkan pengajian ke
Maktab Melayu Kuala Kangsar tetapi tidak meneruskannya
kerana kemiskinan. Kemudian Pak Teh meneruskan pengajian di
Sekolah Agama Pondok Pasir Tumboh iaitu
Sekolah ad-Diniah Bakriah, Kelantan dari tahun
1959 hingga 1967.
Beliau sempat berguru dengan beberapa orang ulama
terkenal seperti Tuan Guru Mohamad Saman,
Tuan Guru Abdul Rahman Ahmad, Tuan Guru Sulaiman Mohd Rabik
dan juga ulama terkenal yang
bermastautin di Kelantan seperti Tuan Guru Mustafa,
Tuan Guru Abdul Aziz dan Tuan Guru Hashim Abu Bakar.
Beliau telah dapat mengekalkan pengajian secara
sistem pondok di mana pengajian ditumpukan
dengan mempelajari kitab-kitab Thurath iaitu kitab-kitab tradisi Islam. Beliau adalah pakar rujuk dalam berbagai hal mengenai masalah agama.
Mewarisi minat bapanya,
Pak Teh juga bercucuk tanam dan berkebun buah-buahan.
Minatnya itu juga kini tertumpah pada
anak-anak muridnya di mana pelbagai jenis tanaman ditanam
di pusat pengajian tersebut. Selain dapat memanfaatkan tanah-tanah yang ada,
hasil tanaman ini juga dapat memberikan
pendapatan sampingan apabila dijual.
Antara tanaman yang ditanam seperti ubi kayu, pinang, pisang,
nenas, kangkung, bayam, sawi, tebu dan
bermacam-macam buah-buahan dan sayur-sayuran
termasuk pokok-pokok akar kayu untuk perubatan. Pada peringkat awal penubuhan Madrasah Ad-Diniah Al-Latiffiah,
bilangan murid yang menerima
cara pendidikan yang diperkenalkan itu hanyalah seramai tiga orang. Kini setelah madrasah tersebut melangkau usia lebih 35 tahun,
bilangan murid yang belajar di situ
melebihi 400 orang secara sepenuh masa.
Kebanyakan pengajian ilmu di madrasah Pak Teh
adalah bersumber daripada Kitab-kitab Jawi yang
lebih popular dikenali sebagai kitab kuning dan kitab-kitab Arab. Kaedah pengajian di madrasah yang berasaskan
sistem pengajian pondok selalunya menggunakan
2 kaedah utama iaitu umumi dan nazomi. Selain itu juga
kelas hafalan dipraktikkan secara meluas
dalam sistem pengajian pondok. Antara kitab yang
digunakan di Pondok Pak Teh ialah
Minhajul Abidin (tasawuf), Mughni Muhtaj (feqah),
Syuzu (nahu), Hadis Muwatta Imam Malik,
Fathul Muin, Fathul Wahhab, Tafsir Nasafi, Ibnu Akil,
Syarkawi, Usul Fiqh, Matan Zubad (feqah)
dan Matan Majmuk Azhari. Pak Teh merupakan Ahli Jawatankuasa Syariah
Negeri Perak sejak 1994.
Pengetahuannya yang luas khususnya dalam pemakaian
kaedah kitab Arab dan cermat dalam
mengeluarkan sesuatu usul atau pandangan
telah banyak membantu perjalanan jawatankuasa
syariah dan Majlis Fatwa Perak.
Di atas sumbangannya yang besar, Pak Teh telah
dianugerahkan kurniaan
Darjah Dato' Paduka Mahkota Perak (DPMP)
sempena menyambut ulang tahun hari keputeraan
Paduka Sultan Perak ke-76. Istiadat pengurniaan
tersebut telah berlangsung pada 19 April 2004
di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.
Semoga rohnya ditempatkan bersama
roh para rasul dan nabi, syuhada dan solihin di atas
kegigihannya memperjuangkan agama Allah. (sumber : harakahdaily.net)
Al-fatihah ... aku mengenali arwah tok tih @pak tih tok guru sejak kecil lagi..
ketika berumur 5 tahun aku tinggal bersama tok dan arwah
tok wan di kuak .. aku masuk PASTI ketika
berumur 5 tahun di sana..pada masa yang sama
maksu sekeluarga juga tinggal di pondok tok tih..
pondok sering menjadi tempat aku berkunjung
setiap hari bersama arwah tokwan..setiap hari ketika itu..
bertemu dan mendengar arwah mengajar
anak-anak muridnya di surau pondok..
kali terakhir aku berjumpa arwah sebelumnya meninggal,
pada tahun lepas.ketika tok masih
berada di pondok..sehingga kini..masih terngiang2 di pendengaran aku..
suara arwah memanggil aku dan adik2 aku dengan panggilan
adik halimatun, adik khailani..juga abah dan mak dengan
panggilan abg harun dan kak nayah..
semoga arwah sentiasa ditempatkan
bersama2 orang2 yang beriman..
amin...
seronok bila melihat wajahnya...tenang.. |
1 comment:
Al fatihah
Post a Comment